SIKAP TERHADAP KOMPUTER * (Oleh: Ahmad Fauzi bin Mohamed) Pelbagai pendekatan telah digunakan oleh para penyelidik dalam penyelidikan-penyelidikan mengenai sikap terhadap komputer dalam dunia pendidikan. Kepelbagaian tersebut bertujuan untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas dan komprehensif tentang sikap terhadap komputer. Selain berbeza pendekatan, penyelidikan juga dijalankan di pelbagai peringkat institusi dan organisasi pendidikan serta melibatkan warga pendidikan yang berbeza iaitu sama ada pelajar, guru, pensyarah, pentadbir dan sebagainya. Sikap merupakan salah satu faktor penting dalam menentukan keberkesanan pelaksanaan pelbagai program yang berkaitan dengan komputer dalam pendidikan. Penyelidikan Zahri Aziz (1992) mengenai persepsi terhadap penggunaan komputer di kalangan pegawai-pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah di tiga daerah di Perak (Larut, Matang, Selama) menunjukkan bahawa faktor sikap memainkan peranan penting terhadap kejayaan pelaksanaan aplikasi komputer dalam sesebuah organisasi. Penyelidikan mengenai perlaksanaan Computer Assisted School Administration (CASA) di sekolah-sekolah berasrama penuh di negeri Kedah Darul Aman oleh Muhammad Zaini (dalam Ahmad Rafee Che Kassim, 1996) juga telah membuktikan sikap merupakan salah satu faktor penting yang mempengaruhi kejayaan pelaksanaan CASA. Hasil penyelidikan oleh Dupagne dan Krendi (1992) mendapati bahawa secara keseluruhannya guru-guru menunjukkan sikap yang positif terhadap sebarang program pengimplimentasian komputer sama ada di dalam bilik darjah atau kurikulum. Namun begitu, dapatan penyelidikan menunjukkan yang majoriti guru masih ragu-ragu terhadap (a) keupayaan infrastuktur, khususnya merangkumi perkakasan dan perisian komputer dan (b) kekurangan pengendalian kursus oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab. Jusni Nasirun (1995) dalam penyelidikan beliau terhadap sikap pensyarah-pensyarah terhadap penggunaan komputer secara profesional merumuskan bahawa secara keseluruhannya para pensyarah di Institut Perguruan Darulaman mempunyai sikap yang positif terhadap komputer. Sikap sedemikian bermakna tidak wujud bangkangan terhadap penggunaan teknologi komputer. Penyelidikan beliau juga mendapati 68.7% daripada sampel amat bersedia untuk mempelajari teknologi komputer berbanding dengan hanya 1.5% yang langsung tidak berminat. Fobia terhadap komputer dan teknologi baru sangat menebal di kalangan masyarakat. Tinjauan literatur menunjukkan perbezaan latar belakang individu mempengaruhi dan mempunyai kesan terhadap sikap seseorang terhadap komputer. Mengikut Clement (dalam Jusni Nasirun, 1995) terdapat guru-guru yang mempunyai sikap yang negatif terhadap komputer. Perbezaan latar belakang individu seperti usia yang muda, kaum wanita dan penguasaan matematik yang lemah merupakan antara faktor yang menyebabkan sikap sedemikian (Grisworld dalam Jusni Nasirun, 1995). Penyelidikan oleh Massoud (dalam Alix, n.d.) menunjukkan terdapatnya perbezaan sikap yang signifikan mengikut jantina iaitu sikap orang lelaki terhadap komputer adalah lebih positif berbanding orang perempuan. Dapatan penyelidikan Albouserie, Moss, dan Barasi (dalam Graf, Davies, dan McNorton, 2004) pula menunjukkan bahawa pelajar lelaki lebih berminat untuk menggunakan komputer untuk pembelajaran berbanding pelajar perempuan. Dapatan tersebut menunjukkan bahawa faktor jantina ada pengaruhnya terhadap sikap individu terhadap penggunaan komputer. Dalam perkembangan berkaitan, penyelidikan Morahan-Martin (1998) mendapati penggunaan internet lebih didominasi oleh kaum lelaki sejak diperkenalkan. Walaupun penggunaannya di kalangan wanita semakin meningkat di seluruh dunia, namun penggunaan internet dalam pelbagai cara masih rendah berbanding kaum lelaki. Akibatnya bukan sahaja peluang kaum wanita untuk mengakses maklumat serta mendapat pelbagai perkhidmatan secara dalam talian berkurangan, tetapi juga menyebabkan kesan negatif terhadap ekonomi dan pendidikan. Sikap negatif kaum wanita terhadap teknologi baru telah menyebabkan golongan tersebut dilaporkan sebagai mempunyai (a) tahap kemahiran komputer yang rendah, (b) tahap kompeten komputer yang rendah, dan (c) sikap memihak terhadap komputer yang lebih rendah berbanding golongan lelaki. Dapatan-dapatan penyelidikan juga menunjukkan yang faktor usia mempengaruhi sikap individu terhadap komputer. Penyelidikan oleh Omar Mohammed (1992) dan oleh Walters dan Necessary (1996) menunjukkan yang pelajar-pelajar di kelas yang lebih tinggi mempunyai sikap yang lebih positif terhadap
penggunaan komputer berbanding rakan-rakan mereka di kelas yang lebih rendah. Hasil penyelidikan oleh Robertson, Calder, Fung, Jones, dan O’Shea (1995) pula mendapati golongan pelajar mempunyai tahap kerisauan yang lebih rendah terhadap komputer berbanding golongan guru. Penyelidikan Dyck (dalam Alix, n.d.) membuat perbandingan sikap terhadap komputer di antara golongan lebih dewasa (berumur 55 tahun dan ke atas) dengan golongan muda (berumur 30 tahun dan ke bawah). Dapatan penyelidikan tersebut menunjukkan bahawa sikap positif terhadap komputer bagi keduadua golongan mempunyai kaitan dengan tahap pengalaman, khususnya pengalaman penggunaan komputer. Sikap sama ada positif atau negatif terhasil daripada pengalaman yang diperolehi. Graf et al. (2004) telah menjalankan penyelidikan untuk mendapatkan tahap penggunaan internet dan sikap terhadap komputer dan kaitannya dengan perbezaan stail kognitif dan silang budaya. Penyelidikan tersebut dijalankan di University of Glamorgan, United Kingdom iaitu melibatkan seramai 170 pelajar ijazah pertama iaitu (103 berbangsa Cina dan 67 pelajar tempatan). Dapatan penyelidikan menunjukkan bahawa sikap dan nilai terhadap kumpulan umur yang lebih muda (17 hingga 19 tahun) lebih positif berbanding kumpulan yang lebih tua (21 hingga 32 tahun). Hasil penyelidikan juga menunjukkan bahawa pelajar-pelajar berbangsa Cina lebih menonjol tingkah laku sikap terhadap internet dan komputer berbanding pelajar-pelajar tempatan. Penyelidikan yang dijalankan oleh Othman Khalid (1992) mendapati bahawa walaupun latar belakang pentadbir sekolah terhadap komputer dan penggunaannya agak rendah dan mengecewakan, tetapi jelas dan nyata menunjukkan bahawa persepsi mereka adalah positif terhadap rancangan memperkenalkan komputer di sekolah dan penggunaan komputer dalam membantu pentadbiran sekolah. Penyelidikan tersebut juga mendapati (a) kurangnya penekanan dan perhatian khusus dari pihak Kementerian Pelajaran terhadap kepentingan komputer dan kegunaannya, (b) tiada bantuan dan peruntukan khusus terhadap bekalan komputer, (c) tidak ada program latihan komputer yang khusus dan berterusan kepada pentadbir, guru-guru dan kakitangan sokongan sekolah, dan (d) tiada guru yang dilatih khusus dalam bidang komputer yang ditempatkan di sekolah. Dapatan penyelidikan MEDNZ (1998) yang dijalankan ke atas 276 guru besar sekolah rendah di New Zealand secara jelas menunjukkan bahawa sikap yang memihak terhadap teknologi maklumat secara relatifnya wujud secara meluas di kalangan guru besar. Dapatan penyelidikan juga menunjukkan (a) 55% daripada guru besar sekolah rendah menggunakan e-mail sekurang-kurangnya sekali seminggu, sementara (b) 53% sangat bersetuju yang pelajar seharusnya menguasai kemahiran asas komputer (pemprosesan perkataan, hamparan eletronik, dan internet) ketika meninggalkan alam persekolahan. Hasil penyelidikan mengenai sikap pentadbir sekolah terhadap penggunaan komputer dalam pentadbiran oleh Ahmad Rafee Che Kassim (1996) menjelaskan bahawa faktor pengalaman, mendapat latihan, serta keupayaan mengakses komputer mempengaruhi sikap pentadbir terhadap komputer. Penyelidikan Mohd. Al-Shaari Mohd. Ramli (1995) di kalangan guru besar sekolah rendah di daerah Lipis mendapati bahawa 80% responden telah menggunakan komputer untuk urusan pentadbiran sekolah, khususnya untuk menaip dokumen. Sikap negatif terhadap komputer merupakan sesuatu yang normal dan perlu diberi perhatian. Kemungkinan terdapatnya guru-guru yang mempunyai sikap yang negatif terhadap penggunaan komputer di dalam bilik darjah juga merupakan perkara biasa. Menurut Woodrow (1991) guru-guru akan menentang sebarang percubaan memperkenalkan sesuatu program sekiranya mereka menganggap program yang dicadangkan bukan untuk kepentingan diri dan pelajar. Penyelidikan Tseng, Tiplady, Macleod dan Wright (dalam Orr, 2002) mendapati perasaan bimbang terhadap komputer dan penggunaannya merupakan sesuatu yang biasa dan dialami oleh antara 30% hingga 40% daripada populasi. Daniel (1999) pula berpendapat bahawa kita tidak keseorangan jika kita mengalami perasaan gementar melakukan sesuatu tugas dengan menggunakan komputer. Menurut Summer (dalam Christensen, 1997) satu daripada sebab utama guru bersikap negatif terhadap komputer ialah kerana kurangnya pengetahuan dan pengalaman dalam bidang berkenaan. Menurut Brickner (dalam Tuzcuoglu, 2001) antara halangan dalam program pengintegrasian komputer di sekolah ialah berkaitan dengan (a) kepercayaan guru terhadap cara mengajar, (b) kepercayaan terhadap komputer, (c) kebiasaan amalan-amalan di dalam bilik darjah, dan (d) keengganan untuk berubah.
Sorotan literatur mengenai kebimbangan terhadap komputer menghasil beberapa teori. Menurut Orr (2002) penyelidik-penyelidik (Lyod & Gressard, 1984; Howard & Smith, 1986; Glass & Knight, 1988; Necessary & Parish, 1996) menyokong teori yang menyatakan bahawa peningkatan pengalaman dengan komputer akan dapat mengurangkan tahap kebimbangan terhadap komputer. Penyelidikan oleh Necessary dan Parish (dalam Orr, 2002) juga menunjukkan bahawa responden yang langsung tidak mempunyai atau mempunyai pengalaman yang sedikit terhadap komputer mempunyai tahap kebimbangan yang lebih tinggi. Jika individu yang bimbang terhadap penggunaan komputer bersikap positif dan disusuli pula dengan pendedahan secara berterusan, maka tahap kebimbangan berkemungkinan dapat dikurangkan. Tinjuan literatur juga menunjukkan terdapatnya pelbagai penyelidikan tentang sikap terhadap komputer dan kaitannya dengan kesan pencapaian atau kemajuan diri. Penyelidikan Speier, Morris dan Briggs (dalam Orr, 2000) menunjukkan bahawa wujudnya perkaitan di antara sikap yang diperhatikan dengan pencapaian individu. Responden yang menganggap komputer sesuatu yang berguna serta mudah digunakan telah mempamerkan pencapaian kemahiran yang lebih tinggi. Sikap positif atau negatif akan memberi impak terhadap diri dan pekerjaan individu. Penyelidikan perbandingan oleh Bhattacharjee dan Shaw (dalam Gurr, 1999) menunjukkan bahawa kumpulan responden yang mempunyai sikap positif didapati memperolehi kemahiran-kemahiran kerja yang tinggi berbanding kumpulan yang bersikap negatif. Perbandingan yang dibuat juga menunjukkan bahawa selain didapati mampu menyelesaikan semua kerja tanpa bantuan, responden yang mempunyai sikap positif juga didapati lebih yakin dengan keupayaan penggunaan teknologi. IITTL (2000) telah menjalankan satu penyelidikan untuk mendapatkan kesan perubahan sikap terhadap komputer. Antara dapatan penyelidikan ialah (a) guru yang tinggi tahap pengintegrasian teknologi dalam proses pengajaran diperlukan agar penggunaan teknologi maklumat memberi impak yang positif terhadap persepsi pelajar terhadap komputer, (b) penggunaan teknologi secara berkesan akan lebih mendorong para pelajar untuk mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran, dan (c) pelajar yang diajar oleh guru yang tinggi tahap pengintegrasian teknologi memperolehi skor yang lebih tinggi dalam ujian Iowa Test of Basic Skill berbanding mereka yang diajar oleh guru yang rendah tahap pengintegrasian teknologi. Terdapat berbagai-bagai alasan terhadap keengganan menggunakan komputer dan salah satu yang paling biasa ialah perasaan bimbang terhadap teknologi maklumat. Rutherford dan Grana (dalam Gilmore, 1998) menyenarai bentuk-bentuk kebimbangan terhadap teknologi maklumat. Diantaranya ialah (a) takut kepada perubahan, (b) takut kepada komitmen masa, (c) takut dilihat sebagai tidak kompeten, (d) takut kepada techno lingo iaitu jargon-jargon teknologi, dan (e) takut menghadapi kegagalan. Hasil penyelidikan Parker (dalam Gilmore, 1998) juga menunjukkan terdapatnya 10 alasan yang menjadi halangan terhadap penggunaan teknologi maklumat. Sepuluh alasan tersebut serta peratusan dapatan ialah (a) kurang mahir menggunakan papan kekunci – 13%, (b) penggunaan teknologi maklumat amat mengecewakan – 13%, (c) tidak mampu mengikut perubahan yang terlalu cepat – 13%, (d) berpendapat teknologi maklumat tidak akan meningkatkan bidang yang diceburi – 16%, (e) ketiadaan makmal komputer – 23%, (f) ketiadaan masa – 25%, (g) tidak mempunyai pengetahuan tentang sumber teknologi maklumat – 29%, (h) tiada pembantu di makmal – 45%, (i) ketiadaan perisian – 52%, dan (j) ketiadaan perkakasan – 58%. Justeru itu, cabaran utama bagi tenaga pengajar kelas literasi komputer ialah bagaimana menukar sikap negatif terhadap komputer kepada sikap positif. Menurut Orr (2002) pengajar mestilah membantu pelajar mengurangkan perasaan bimbang terhadap komputer. Kenal pasti lebih awal pelajar yang menghadapi masalah dapat mengurangkan rasa kebimbangan mereka. Pendekatan memasangkan pelajar yang mahir dan mempunyai keyakinan terhadap komputer dengan pelajar yang bimbang terhadap komputer semasa pengajaran juga dijangka dapat membantu mengurangkan tahap kebimbangan. Pengajaran seorang dengan seorang serta mengadakan kelas ganti bagi pelajar yang tertinggal kelas didapati berfaedah terutama bagi pelajar yang baru. Sikap positif terhadap komputer boleh ditingkatkan melalui latihan atau kursus. Hasil penyelidikan oleh Gilmore (1998) mendapati latihan menyebabkan berlakunya perubahan sikap. Secara perbandingan, dapatan penyelidikan menunjukkan bahawa mereka yang mengikuti latihan mempunyai sikap yang lebih positif berbanding mereka yang tidak mengikuti latihan. Penyelidikan oleh Rutherford dan
Grana pada tahun 1995 (dalam Gilmore, 1998) juga menunjukkan dapatan yang sama dan oleh yang demikian bolehlah diandaikan bahawa latihan menyumbang ke arah peningkatan penggunaan teknologi maklumat. Penyelidikan Yildrim (2000) mendapati komponen-komponen sikap seperti kerisauan, keyakinan, dan minat terhadap komputer telah secara signifikannya meningkat selepas diberi latihan atau tunjuk ajar. Hasil penyelidikan juga menunjukkan bahawa persekitaran iaitu penggunaan teknologi di sekolah-sekolah telah mempengaruhi sikap guru-guru terhadap penggunaan komputer. Penyelidikan oleh Abbott dan Faris (2000) pula mendapati bahawa peningkatan sikap yang positif terhadap komputer akan berlaku melalui (a) pendekatan instructional, (b) pemberian tugasan yang bermakna yang memerlukan penggunaan teknologi, dan (c) sokongan daripada pihak sekolah iaitu dengan memasukkan komponen teknologi ke dalam kursus literasi komputer yang sedia ada. Selain dirancang dengan teliti, pengisian program latihan juga perlu mengambil kira kemungkinan wujudnya beberapa faktor yang boleh menghalang keberkesanannya. Dapatan penyelidikan Valasek (dalam Jusni Nasirun, 1995) pula menunjukkan bahawa (a) umur ialah faktor utama bagi orang dewasa tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam latihan; (b) golongan dewasa mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan; dan (c) orang dewasa mampu belajar, tetapi mereka melakukan banyak kesalahan dan memerlukan lebih masa untuk latihan. Perancangan latihan yang baik menurut Ritchie dan Wilburg (dalam Christensen, 1997) mestilah mengambil kira dua elemen penting iaitu jangka masa latihan dan kandungan kursus. Jangka masa latihan yang singkat tidak mencukupi untuk membolehkan guru melaksanakan penggunaan teknologi di dalam bilik darjah. Dalam perkembangan berkaitan, penyelidikan Beasley dan Sutton pada tahun 1993 (dalam Christensen, 1997) mendapati bahawa sekurang-kurang 30 jam diperlukan bagi satu pakej latihan untuk mengurangkan tahap kebimbangan terhadap teknologi. Walau bagaimanapun, jumlah masa tersebut hanya dapat menghilangkan ketidakpastian dan merupakan langkah awal ke arah menjadi pengguna komputer yang lebih yakin dan berpengetahuan. Dalam memperkatakan tentang kandungan latihan yang berkesan, tinjauan literatur oleh Parker (dalam Gilmore, 1998) menunjukkan bahawa kandungan latihan teknologi maklumat mestilah mengandungi bidang-bidang peningkatan keupayaan penggunaan komputer untuk kegunaan peribadi. Empat bidang penggunaan komputer untuk kegunaan peribadi yang dikenal pasti ialah perisian pemprosesan perkataan, hamparan eletronik, carian internet dan mel eletronik. Penyelidikan Christensen (1997) telah memberi beberapa gambaran tentang sikap terhadap komputer. Didapati sesetengah sikap seperti kebimbangan, kepentingan komputer dan keseronokkan terhadap komputer berubah dengan cepat menjadi lebih positif dari yang dijangkakan. Sementara dimensi keyakinan dan penerimaan komputer telah mengambil masa yang lebih lama untuk menunjukkan perubahan. Penyelidikan tersebut juga menunjukkan bahawa sikap guru mempengaruhi sikap pelajar sama ada secara langsung atau tidak langsung. Sikap pelajar juga didapati mempengaruhi sikap guru. Didapati perasaan kepentingan terhadap komputer di kalangan pelajar yang tinggi telah menyebabkan tahap kebimbangan di kalangan para guru turut meningkat. Walaupun secara keseluruhannya penyelidikan Muhamad Hasan bin Abdul Rahman dan Yeong Weng Fatt (2001a & 2001b) menunjukkan sikap yang postif terhadap penggunaan komputer dan internet, namun seperkara yang menarik daripada dapatan penyelidikan tersebut ialah 91 responden (76.4%) daripada 122 berpandangan bahawa penggunaan internet mengurangkan produktiviti kerja. Apa yang dapat diimplikasikan daripada dapatan tersebut ialah tahap kemahiran yang rendah menyebabkan pengguna tidak cekap, sukar dan banyak membuang masa semasa menggunakan internet. Dapatan tersebut juga berkemungkinan dipengaruhi oleh kesukaran mengakses internet dan talian internet yang kerap terputus. Penyelidikan Lyod dan Gressard (dalam Christensen, 1997) menunjukkan bahawa sikap positif terhadap komputer juga mempunyai kolerasi yang positif terhadap pengetahuan dan pengalaman guru. Penyelidikan tersebut juga mendapati bahawa (a) persepsi terhadap potensi penggunaan komputer boleh mempengaruhi sikap terhadap komputer, dan (b) tahap keyakinan yang dimiliki guru dalam penggunaan komputer sangat mempengaruhi keberkesanan guru dalam mengintegrasikan komputer dalam bilik darjah. Sementara penyelidikan Lillard pada tahun 1985 pula mendapati bahawa pengetahuan memberi kesan yang positif ke atas sikap guru terhadap teknologi.
Hasil penyelidikan Liong Kam Chong, et al. (1995) mendapati majoriti guru besar dan pengetua sangat bersetuju bahawa kakitangan sekolah sepatutnya mempunyai sikap positif dan dirangsang untuk menggunakan komputer. Penyelidikan tersebut juga mendapati kekangan sumber kewangan sebagai masalah yang amat signifikan untuk melaksanakan penggunaan komputer dalam pentabiran berbanding masalah staf yang signifikan yang amat rendah. *
Esei ini merupakan sebahagian daripada tesis MSc. (Education Management) penulis di Universiti Utara Malaysia, 06010 Sintok, Kedah Darul Aman.