USUL : Cadangan Merombak Semula Pengisian Kursus Pendedahan Pendidikan Khas Negeri Perak Pengenalan Kursus Pendedahan Pendidikan Khas dianjurkan bertujuan untuk memberikan maklumat dan kemahiran asas yang paling releven kepada bakal guru-guru pendidikan khas tentang pendidikan untuk murid berkeperluan khas agar mereka mendapat satu gambaran yang jelas bagaimana untuk menghadapi murid-murid dengan keperluan khas tertentu apabila mereka balik ke sekolah nanti.
Kelemahan yang dikenalpasti dalam pengisian kursus pendedahan yang lepas Pengenalan Pendidikan Khas Dalam slot ini, JU/Penceramah akan menerangkan maklumat tentang (1) Sejarah Perkembangan Pendidikan Khas, (2) Carta Organisasi BPKhas KPM, (3) Falsafah Pendidikan Kebangsaan, (4) Falsafah Pendidikan Khas, (5) Visi dan (6) Misi. Semua ini boleh diperolehi melalui proses pembacaan dan tidak perlu diterangkan lagi. Sepatutnya slot ini dilakukan oleh PKPK atau Penyelaras Pendidikan Khas di peringkat sekolah sewaktu contact-time atau pada masa “in-house training”. Maklumat tentang (1) Definisi Pendidikan Khas, (2) Definisi Murid Berkeperluan Khas, (3) Siapa dia murid pendidikan khas, (4) Ciri-Ciri Murid Pendidikan Khas dan (5) Akta Pendidikan Khas boleh diperolehi melalui pembacaan kerana buku-buku pendidikan khas telah banyak dibekalkan ke sekolah-sekolah.
Kurikulum Pendidikan Khas Kandungan kurikulum juga tidak perlu disentuh semasa kursus pendedahan kerana ini boleh dilakukan di peringkat sekolah sahaja oleh PKPK atau Penyelaras Pendidikan Khas
Pengurusan Bilik Darjah Secara umumnya, JU/Penceramah akan menyentuh tentang cara bagaimana untuk mencantik dan menceriakan bilik darjah. Tidak pernah ada JU/Penceramah yang memberikan maklumat tentang bagaimana untuk menstrukturkan kelas yang sesuai seperti dari segi warna, pengudaraan, susunan perabot, susunan BBM dan ciri-ciri keselamatan supaya sesuai dengan keperluan kategori murid berkeperluan khas tertentu. Tidak ada perbezaan yang ketara di antara kelas pendidikan khas dengan kelas aliran perdana.
Strategi P&P Semua strategi seperti berikut : (1) Strategi Pemusatan Guru, (2) Strategi Pemusatan Murid, (3) Strategi Pemusatan Bahan, (4) direktif, (5) pemerhatian, (6) mediatif, (7) genaratif, (8) koloboratif, (9) outside-contax, (10) metakognitif, (11) konsep pendekatan induktif, elektif dan tematif, (12) pembelajaran masteri, koperatif / kolaboratif, (13 )analisis tugasan, (14) belajar melalui bermain, (15) masteri learning, (16) pengalamian, (17) kadar kendiri, (18) akses kendiri, (19) terarah kendiri dan semua teknik dan kaedah P&P yang ada dalam buku – semua ini hendak diberitahu kepada guru dalam masa 2 jam. Adalah mustahil untuk seseorang guru menguasai dan memahami semua ini tanpa pernah mengaplikasikannya di dalam P&Pnya. Strategi P&P yang paling penting iaitu Analisis Tugasan / ‘Task Analysis’ dan konsep P&P yang paling penting iaitu ‘Generalization’ tidak diterangkan dan dibengkelkan dengan sejelas-jelasnya kepada peserta. Teknik dan kaedah P&P yang lain boleh dibengkelkan bersama di peringkat sekolah apabila PKPK dan Penyelaras Pendidikan Khas telah mengenalpasti kelemahan dalam P&P guru-guru selepas melakukan pencerapan ke atas P&P guru-guru pendidikan khas di bawah jagaan mereka dari masa ke semasa.
Latihan Dalam kursus pendedahan juga, JU/Penceramah tidak pernah membimbing peserta bagaimana untuk menyediakan bentuk latihan yang sesuai untuk melatih murid dan instrumen penilaian yang dapat menilai pencapaian murid. Berdasarkan kepada pemerhatian ke atas buku-buku latihan murid di sekolah, kebanyakkan latihan yang disediakan tidak menampakkan keprofesionalisme guru pendidikan khas. Latihan-latihan semasa juga tidak ada kesinambungan dengan latihan-latihan sebelumnya.
Penulisan Buku Rekod Apabila diteliti Buku Rekod Mengajar guru-guru pendidikan khas, boleh dikatakan sebahagian besar guru-guru pendidikan khas yang baru tidak menulis kaedah P&P mengikut kumpulan murid. Ini bermakna tidak ada pembahagian kumpulan semasa P&P. Semua murid belajar benda yang sama dan membuat latihan yang sama. Rekod mengajar dari hari ke hari juga tidak menampakkan kesinambungan P&P hari ini dengan hari-hari sebelumnya. Buku Rekod Mengajar guru-guru pendidikan khas juga penuh dengan lukisan dan sticker yang tidak ada kaitan langsung dengan P&P. Amalan ini bukan sahaja tidak mengikut peraturan malah membuang masa. Terdapat guru pendidikan khas yang tidak menulis refleksi kerana mereka pun tidak mengetahui apa itu refleksi! Ini satu perkara yang amat menyedihkan. Bukan sahaja PKPK dan Penyelaras Pendidikan Khas tidak membimbing mereka, malah pentadbir sekolah pun tidak menitikberatkan P&P guru pendidikan khas.
Pengurusan Tingkahlaku JU/Penceramah banyak menceritakan pengalaman bagaimana beliau mengurus dan mendisiplinkan anak-anak muridnya. Cara penyampaian JU/Penceramah memang menghiburkan. Semua peserta hilang mengantuk. Tetapi yang silapnya ialah beliau tidak menyatakan kaedah yang digunakan dan rasional kaedah itu digunakan serta tindak susul dari itu dan tindakan selanjutnya. Cara bagaimana untuk menulis laporan/rekod pengurusan tingkahlaku juga tidak pernah dibengkelkan.
Rancangan Pengajaran Individu (RPI) RPI merupakan dokumen penting P&P. RPI adalah rekod pencapaian murid dan juga penilaian kendiri guru pendidikan khas itu sendiri. Objektif P&P tidak akan dicapai sekiranya RPI dikemaskini tiga bulan sekali kerana strategi P&P perlu diubah sekiranya kaedah yang dirancang itu didapati tidak sesuai setelah 2 hingga 3 kali percubaan. Sama seperti guru aliran perdana terpaksa memeriksa berpuluh buah buku latihan murid-muridnya selepas setiap kali memberikan latihan, guru pendidikan khas juga perlu mengemaskinikan RPI setiap muridnya setelah setiap sesi P&P.
Cadangan meningkatkan kualiti kursus pendedahan pendidikan khas Menyusun Semula Slot-Slot Kursus Pendedahan Pendidikan Khas Slot-slot mestilah sama pada setiap kali kursus supaya guru-guru pendidikan khas tidak dapat mempertikaikan matlamat dan objektif kursus. Cadangan slot : (1) Pengurusan Tingkahlaku dan Laporan [2 jam], Berikan 1 contoh tingkahlaku murid BP dan tunjukkan langkah-langkah penyelesaian : (a) kenalpasti masalah murid, (b) mesyuarat dengan guru-guru pendidikan khas dan PPM, (c) buka fail untuk murid berkenaan, (d) merangka kaedah pengubahsuaian tingkahlaku yang sesuai, (e) memo kepada ibu bapa/penjaga, (f) salinan memo kepada pentadbir sekolah dan guru disiplin sekolah, (g) kerjasama dan tindakan bersama dari semua gpk dan ppm untuk menangani tingkahlaki murid berkenaan, (h) laporan harian / mingguan, (i) laporan akhir. (2) Pengurusan Kelas [2 jam], Berikan 1 contoh tingkahlaku murid ADD. Dapatkan contoh dari luar negara tentang pengubahsuaian persekitaran kelas, susunatur perabot, BBM dll yang boleh meminimakan gangguan dan meningkatkan tumpuan murid. (3) Task Analisis dan Generalization [2 jam], Berikan satu contoh kemahiran besar yang hendak diajar. Tunjukkan cara membuat analisa tugas dan seterusnya cara melaksanakan P&P : (a) Menyediakan BBM, (b) setting terkawal di dalam bilik darjah/bilik KH, (c) setting sebenar (setelah murid boleh kuasai kemahiran itu dalam setting terkawal).
(4) Penulisan RPI dan Penulisan Rancangan Mengajar Harian [2 jam], Berdasarkan kepada task analysis tadi, terjemahkan kaedah pelaksanaannya ke dalam penulisan Rekod Mengajar Harian dan RPI untuk P&P satu subjek bagi satu tempoh yang ditetapkan. (5) Latihan dan Penilaian Murid [2 jam]. Berdasarkan kepada task analysis tadi, strukturkan bentuk latihannya (amali atau bertulis) di sekolah dan di rumah serta jadual latihannya di rumah. Akhir sekali rangkan format penilaian yang sesuai untuk menilai pencapaiannya. Jenis latihan dan jadual latihan perlu dicatat (secara terperinci) ke dalam RPI dan (secara ringkas) ke dalam Rekod Mengajar Harian. (6) Ujian Objektif [1 jam], Semua peserta menduduki ujian objektif. (7) Penutup Peringatan kepada peserta bahawa profesion mereka adalah mulia dan perlu melaksanakan amanat dengan penuh tanggunjawab. Untuk merealisasikan langkah ini, semua JU/Penceramah mestilah dipanggil untuk menyediakan modul bagi setiap slot.
Perlu Ada Unsur Penilaian Di Dalam Kursus Pendedahan Pendidikan Khas Sehingga kini, guru pendidikan khas hanya perlu hadir ke kursus pendedahan pendidikan khas dan selepas itu akan diberikan sijil kehadiran. Seperti dalam Kursus Induksi di mana peserta diwajibkan lulus sebagai salah satu syarat untuk disahkan dalam jawatan. Guru PPSMI juga perlu lulus kursus ETeMS untuk membolehkan mereka dibayar elaum PPSMI. Sehubungan ini, mengapa tidak peserta kursus pendedahan pendidikan khas juga diwajibkan untuk hadir dan lulus sebelum mereka boleh diberikan sijil kehadiran untuk menuntut elaun mengajar kanak-kanak cacat RM250.00 itu? Bentuk penilaian yang dicadangkan adalah (1) peperiksaan bertulis dan (2) folio kursus yang perlu dihantar ke PPD 2 minggu selepas kursus. Kandungan folio : (1) portfolio peserta, (2) hasil kerja sendiri untuk setiap slot – pengurusan tingkahlaku, pengurusan kelas, Task Analysis & Generalization, RPI & Rekod Mengajar Harian dan Latihan & Penilaian Murid, (3) Refleksi kendiri setelah menghadiri kursus. JU/Penceramah akan memeriksa kertas ujian peserta sebelum pulang sementara JK Kurikulum Pendidikan Khas JPN Perak akan menyemak folio peserta di JPN.
Mindset Guru Pendidikan Khas PKPK dan Penyelaras Pendidikan Khas memainkan peranan menanamkan pemikiran yang positif kepada semua guru pendidikan khas bahawa kursus pendedahan pendidikan khas adalah penting bagi tujuan penambahan ilmu dan peningkatan diri mereka. Kehadiran ke kursus bukan kesempatan untuk lari dari tugas di sekolah bagi tempoh itu. PKPK dan Penyelaras Pendidikan Khas perlu memastikan guru pendidikan khas yang akan menghadiri kursus meninggalkan bahan/tugasan kepada guru lain yang akan menggantikan kelas mereka. Guru pendidikan khas yang akan hadir ke kursus pendedahan perlu membawa kelengkapan berkursus seperti buku nota, alat tulis dan bahan-bahan rujukan yang patut. Penggunaan komputer riba dan telefon bimbit sewaktu berkursus adalah dilarang sama sekali. Semua guru pendidikan khas wajib berpakaian kemas dan mematuhi etika pakaian seorang penjawat awam sewaktu berkursus.
Kewibawaan JU/Penceramah Sehingga kini, JU/Penceramah hanya datang, menyampaikan ceramah dan selepas itu balik. Kalau JU ETeMS, mereka perlu berada di tempat kursus sepanjang kursus itu berjalan untuk menilai semua pesertanya. Kenapa tidak JU/Penceramah Kursus Pendedahan Pendidikan Khas turut diwajibkan untuk berbuat demikian? JU/Penceramah yang sediada tidak menampakkan kewibawaan mereka. Mereka tidak pernah menghasilkan satu kajian kes pun tentang pendidikan khas di sekolah mereka. Tetapi mereka lebih banyak mengarahkan guru pendidikan khas di bawah mereka untuk membuat kajian tindakan di peringkat sekolah. Apa yang mereka buat selama ini ialah kerap meninggalkan sekolah untuk menghadiri kursus anjuran BPKhas KPM tetapi tidak pernah membawa balik hasil kursus/bengkel untuk dibentangkan kepada Unit Pendidikan Khas JPN Perak.
Penutup Pertimbangan dari JK Kurikukum Pendidikan Khas JPN Perak adalah dipohon untuk meneliti dan meluluskan serta melaksanakan cadangan ini bagi kebaikan semua guruguru yang bakal menjadi guru pendidikan khas.
Disediakan oleh : Tan Aik Ho b.p. Pegawai Khas Pendidikan Khas PPD Seluruh Negeri Perak Tarikh : 18 Oktober 2009